SIBU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud telah mengurniakan darjah kebesaran dan pingat negeri Sarawak kepada 126 penerima bertempat di Hotel Kingwood, Sibu pada Rabu.
Mengetuai senarai penerima ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datu Kameri Affandi yang dianugerahkan Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S) membawa gelaran Datu.
Sesi diteruskan dengan penerimaan pingat Johan Perkhidmatan Cemerlang (J.P.C.) oleh dua penerima iaitu Nicholas Sia Yit Shing dan Hang Tuah Merawin.
Selain itu, 12 individu menerima Pingat Perwira Negeri (Gangsa) (P.P.N.) yang julung kali dianugerahkan oleh TYT kepada veteran-veteran barisan hadapan anggota keselamatan negara yang diketuai oleh Engkang Sigaw.
Manakala Ling Bee Lang @ Choo Bee Lang menjadi penerima tunggal Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K).
Dalam pada itu, seramai tujuh inidividu menerima Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (P.P.B) manakala bagi Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) menyaksikan seramai 12 penerima.
Pingat Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) pula dianugerahkan kepada 13 penerima dan bagi Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (Gangsa) (P.P.T) pula menyaksikan seramai 19 penerima.
Sesi diakhiri dengan pengurniaaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) kepada 59 penerima.
Turut hadir Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib; Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh; Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Dr. Annuar Rapaee dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion. – EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS